Monday, June 10, 2013

Penantian

{Oleh Duri Matahari}

“Pergilah mati kalau kau bakal mati!” Ayat dia yang itu bikin hati aku terluka. Terlalu. Tidak tahukah dia aku berkata benar pada kali pertama aku katakan itu pada dia. Bukan mahu minta simpati dari dia, tapi aku tak mahu memberi harapan pada dia. Aku tahu dia akan terus menanti walau dia sendiri tahu penantian dia itu adalah sesuatu yang tidak pasti. Aku faham dia walau pertama kali berkenalan. Aneh bukan?

Saat aku menghilangkan diri beberapa tahun yang lalu, aku ingat aku akan betul-betul meninggalkan dunia ni tapi keajaiban berlaku. Tuhan masih berikan aku peluang untuk hidup. Penyakit aku sembuh dan aku gunakan peluang itu untuk cari dia lagi.

Bila aku kembali ke situ, ke tempat aku dan dia berkenalan, dia masih di situ. Dia manusia pertama yang aku cari.  Aku sapa dia, dan sapaan aku berbalas tapi aku sedar sesuatu, dia bukan seperti dulu. . Dia dah berubah. Adakah berubah sebab aku? Tiada lagi dia yang akan bergelak ketawa dan senyum ketika aku menyapanya. Aku sedar, dia bersikap dingin dengan aku.

Bila aku tanya dia, “Mahu dengar satu cerita tak?” Dia geleng kepala. Dia kata dia tiada selera untuk dengar cerita dari aku dan aku kata aku akan tunggu dia berminat untuk dengar cerita aku. Tapi ayat dia selepas itu, benar-benar buat aku terluka. Adakah ini balasan?

Tidak sedarkah dia, kenapa aku sapa dia setiap hari? Tidak sedarkah dia kenapa aku masih cari dia bila dia hilangkan diri hari itu? Sebenarnya ia lebih dari apa yang aku katakan pada dia hari itu. Tapi aku diamkan sahaja. Tidak mahu memberi dia harapan. Tidak mahu dia menanti sesuatu yang tidak pasti. Apa yang aku tahu ketika itu, ajal aku satu kepastian.

Tahukah dia, aku hilang arah bila dia menghilang hari itu. Tempat itu tiada makna bila dia tiada. Aku tahu dia terluka. Aku tahu. Sama ada terluka sebab aku ataupun sebab mereka. Dan aku mahu minta maaf untuk kali terakhir tapi dia menghilangkan diri tiba-tiba. Jujur, aku hilang arah ketika itu. Aku mahu lihat dia senyum sekali lagi. Tapi, maaf aku dipandang sepi pada kali terakhir aku bertemu dia beberapa tahun yang lalu itu.

Dan sekarang, setiap hari aku melawat tempat itu, mengharapkan dia turut berada di situ. Bila dia ada, aku sapa dia tapi tentunya sapaan aku tidak berbalas. Dia benar-benar berubah. Tidak mahukah dia beri aku peluang sekali lagi? Tak apa. Aku tunggu dia terbuka hati untuk dengar cerita aku. Cerita tentang dia dalam hidup aku.

Walau siapa pun dia ketika ini, aku terima dengan seadanya walau aku mengharap dia yang dulu. Dia yang aku kenal beberapa tahun lepas. Aku sabar menanti sepertimana dia sabar menanti aku suatu ketika dulu.


4 comments:

Anonymous said...

Selalu lupa untuk menghargai ketika dia ada...

Manusia memang begitu....

Genre Dari Langit said...

Penantian itu penyiksaan

Skull Writers said...

yes...penantian..sampai bila bila degan kesetiaan...nice story

-gerimis senja -

ewanthology said...

mungkin sudah terlambat, its time to move on.