Tuesday, September 24, 2013

Cinderella


“Satu hari nanti aku nak kisah cinta seperti Cinderella Huda bersuara tatkala dia selesai menonton kisah itu. Yaa… dia membayangkan dia mahu ketemu Prince Charming seperti itu. Prince Charming yang akan menyelamatkan dirinya dari kehidupan ini. Dengan punya kakak tiri yang selalu menyuruh dia membuat itu dan ini dan ibu tiri yang langsung tidak mahu memihak kepadanya. Ah… kalau dia tahu sebegini perangai ibu tirinya, sudah tentu dia tidak akan bersetuju ayahnya mengahwini wanita itu. Lagi baik dia ditinggalkan berseorangan di dalam rumah dari punya ibu tiri dan kakak tiri. Ah… tika itu dia hanya berumur 11 tahun sahaja. Apa kanak-kanak di usianya tika itu mampu berfikir.

“Hudaaaa…..” Ah, suara itu kedengaran lagi. Dengan malas Huda bangun dan mematikan siaran televisyen. Julia, kakak tirinya tiba di tangga bawah saat dia melangkah situ.

“Ibu panggil kau… nahas kau kali ini,” Julia bersuara sinis sambil memeluk tubuhnya memandang Huda, adik tirinya yang dibencinya.

Huda menunjukkan reaksi jengkel sebelum berlalu pergi. Dia menuju ke bilik tidur utama, bilik ibu tirinya dan juga bilik arwah ayahnya. Pintu bilik di buka.

“Hah! Baru datang!” kedengaran suara kasar wanita tua di saat Huda melangkah masuk. Sehelai baju dilemparkan ke muka Huda. Huda terkejut.

“Kau tengok apa yang kau buat dengan baju aku yang harga RM 500 tu? Kau tengok!” Asmah menjerit lagi. Bengang yang teramat dengan anak tirinya itu. Baru sahaja dia membeli baju itu, belum sempat mahu memakainya, lubang besar telah tercipta di baju itu. Dia memandang anak tirinya lagi. Gadis itu hanya memandang kosong sahaja. Lagilah dia makin berang.

“Kenapa dengan baju ni?” soal Huda tanpa ada rasa bersalah. Dia sedar ada lubang besar di baju itu. Dia tanpa sengaja menghasilkan lubang itu ketika ibu tirinya meminta mengosok baju itu. Semua ini salah Julia. Kalau Julia tidak mengacaunya, sudah tentu hal ini tak akan terjadi.

“Kau tanya kenapa?” Asmah bertambah berang. “Kau buat baju mahal aku berlubang! Aku nak kau ganti balik!”
Huda tersenyum jengkel. Buat apa dia mahu ganti balik baju itu. Baju itu dibeli menggunakan duitnya. Duit yang diwariskan oleh arwah ayah padanya. Tidak tahu bagaimana dia boleh benarkan wanita tua di hadapannya menggunakan duitnya. Dia sepatutnya menghalau saja wanita itu saat dia tahu wanita inilah penyebab kematian ayahnya. Menggunakan khidmat bomoh untuk buatkan ayahnya jatuh sakit supaya harta jatuh ke tangannya. Masih lagi dia ingat saat dia terjumpa cebisan kain berwarna kuning yang mengandungi abu di dalam almari baju arwah ayahnya.

“Buat apa nak ganti kalau baju tu mak cik beli dengan duit saya,” Huda berkata sebelum beredar.  Malas mahu melayan ibu tirinya lagi.

Asmah tergaman. Dia menelan air liur. Tangannya dikepalkan. Teramat berang.

######

 Huda menarik nafas. Pisau di tangannya dijatuhkan. Dia tersenyum puas. Dia memandang ke arah katil. 2 tubuh manusia sedang terkulai layu di atas katil. Tanpa seurat benang dengan darah berlumuran di badan mereka.


Mayat Julia dan suaminya sedang terkulai layu. Huda tersenyum. Dia puas. Dendam sudah terbalas. Sudah lama Huda tahu suaminya membawa masuk perempuan lain ke dalam rumah mereka. Ke bilik tidur mereka. Tidak dia menyangka perempuan itu rupanya Julia. Kakak tirinya.

Dia ingatkan Haris lelaki yang baik. Yang benar-benar mampu membawa dirinya jauh dari gangguan keluarga tirinya. Namun bukan. Haris telah menipunya. Menyesal dia bersetuju berkahwin dengan Haris. Ingatkan Haris benar-benar jujur dan ikhlas untuk mengahwininya.

“Padan muka kau!” Huda bersuara sambil memandang lagi mayat Julia dan Haris. Bunyi jam dinding sebanyak 3 kali menunjukkan masa telah beralih ke pukul 3 pagi. Huda tersenyum. Dia pandai memilih waktu. Mujur dia pandai berlakon mengatakan terpaksa bertugas di luar walhal yang sebenarnya dia hanya meninggalkan keretanya di tempat kerjanya dan pulang ke rumah pada tengah malam dengan teksi. Kereta Julia ada ketika dia tiba.

Ketika dia memulas tombol bilik tidurnya, dia lihat Haris dan Julia sedang asyik bermadu kasih di katil tanpa sedikitpun menyedari kehadirannya. Lantas dia menikam Julia dan Haris bertubi-tubi dengan pisau yang telah diambilnya di dapur sebelum ke bilik.


Di saat Huda selesai menamatkan riwayat hidup dua orang yang telah menghancurkan hidupnya, dia didatangi pula dengan kehadiran seorang lagi mangsanya. Sudah tentu wanita itu terdengar jeritan Julia dan Haris. Huda memandang lagi ke lantai. Ada lagi tubuh yang terkulai layu di situ. Dengan darah dan barang kemas di tubuh wanita itu. Tubuh Asmah. Huda tersenyum lagi. Dia puas!