Sunday, November 25, 2012

Jiwaku Bergelora Menatap Wajahnya

{oleh Hafiz}

Warung Pak Mat Panjang itu jadi saksi. Saksi betapa cinta dan kemaruknya Haji Munir pada Sharifah Saliha. Saban hari warung Pak Mat Panjang dikunjunginya. Hanya kerana Sharifah Saliha. Sharifah Saliha akan melalui warung Pak Mat Panjang sebagai jalan utama dia ke tempat kerja. Makanya Haji Munir akan setia di warung itu setiap pagi dan petang. "Haji Munir, kalau hati sudah bergelora apa kata Haji pinang je Sharifah Saliha tu" cadang Pak Mat Panjang. Haji Munir mengusap-ngusap janggut sejemputnya sambil tersenyum. "Dia nak ke kat aku ni Mat? Aku ni dah la tua." Haji Munir menghabiskan air kopi pekat di dalam cawannya. "Aku nak balik dulu la Mat. Nanti petang aku datang lagi." Haji Munir meletakkan duit dua ringgit di atas meja lalu memberi salam kepada Pak Mat. 

"Ah! Mahu ke Syed Hanafi tu terima aku sebagai menantu?" Haji Munir mengomel sendiri. Sejak enam tahun selepas isterinya meninggal dunia akibat kanser Haji Munir memang terasa sangat kehilangan. Segala makan minum di uruskan oleh adik perempuannya yang tinggal tidak jauh dari rumahnya. Anak-anak Haji Munir yang lima orang semuanya sudah berhijrah ke Kuala Lumpur. Makanya hidup Haji Munir sebatang kara tanpa isteri, tanpa anak. Dan pastinya naluri lelakinya terlalu mendambakan hidup berpasangan. Wajah manis milik Sharifah Saliha terbayang-bayang di mata Haji Munir. Manis. Sangat manis. Berkebaya ketat. Ah! sungguh memikat. Hatiku tertambat. Bisik hati Haji Munir.

Kali ini Haji Munir nekad. Tidak dapat tidak Syed Hanafi harus didepani. Malam itu kembara Haji Munir sangat indah ditemani Sharifah Saliha. Dipenuhi dengan gelak tawa, senyum manja, dan kasih mesra Sharifah Saliha.

Pagi yang dingin itu Haji Munir sudah menapak ke warung Pak Mat Panjang. Niat dihatinya ingin mengajak Pak Mat Panjang untuk menemaninya ke rumah Syed Hanafi. Pak Mat Panjang sedikit hairan dengan penampilan Haji Munir yang luarbiasa kemas dari biasa. "Haji pakai macam ni nak ke mana pepagi ni?" soal Pak Mat Panjang sebaik saja Haji Munir berdiri di hadapannya. "Mat, kau mesti temankan aku ke rumah Syed Hanafi. Aku nakkan Sharifah Saliha." mendatar suara Haji Munir. "Haji ni biar betul?!" Pak Mat Panjang sedikit terkejut sambil membetulkan kopiah di kepalanya. "Betul! Cepatlah temankan aku ke rumah Syed Hanafi." Haji Munir tidak dapat menahan sabar. Kalau boleh hari ini juga dia kahwin dengan Sharifah Saliha. 

"Saya ni wakil Haji Munir untuk memetik bunga di taman milik Syed Hanafi." Pak Mat Panjang memulakan  kata untuk menyampaikan hajat kedatangan mereka pada Syed Hanafi. Haji Munir duduk di sofa dengan tenang menunggu kata dari Syed Hanafi. "Ermm. Anak saya tu muda lagi. Saya rasa anak saya tu belum bersedia nak kahwin. Lagipun dia baru je habis belajar. Sekarang ni baru je beberapa bulan kerja. Jiwa anak muda ni tak sama dengan jiwa kita orang tua ni Haji. Rasanya Haji faham kan maksud saya." Syed Hanafi memang bijak mengatur ayat. Haji Munir sedekit kecewa mendengar jawapan Syed Hanafi. Namun, kalau dah namanya Haji Munir, tiada istilah menyerah kalah sebelum berjuang habis-habisan untuk memiliki gadis yang diimpinya. "Lagi molek kalau kita bertanya tuan punya badan." Pak Mat Panjang memberi pandangan. Haji Munir angguk. Syed Hanafi juga sama. 

Kini, Sharifah Saliha sudah berdiri di sebelah ayahnya setelah di panggil oleh ibunya. "Saliha sudah bersedia untuk berkahwin? Sudikah menerima Haji Munir sebagai suami?" soal Syed Hanafi lembut kepada anaknya. Sharifah Saliha diam. Syed Hanafi berdehem. Namun, Sharifah Saliha masih membatu. "Saliha jawab soalan ayah." suara Syed Hanafi lagi. Haji Munir menunggu penuh debar jawapan yang akan keluar dari bibir mungil milik Sharifah Saliha. 

Sharifah Saliha senyum. "Saya terima ayah." lembut Sharifah Saliha menuturkan katanya. Haji Munir girang tidak terkata. Mahu diciumnya tangan Syed Hanafi di hadapannya selepas mendengar jawapan Sharifah Saliha. Syed Hanafi sedikit terkejut dengan jawapan daripada anaknya. Alahai Sharifah Saliha, tak rugi aku memujamu dalam diam, tak rugi aku menrinduimu dalam kelam bisik hati Haji Munir.

5 comments:

Nong Andy said...

aku sengih baca cerpen ni... tak sangka sharifah membalas cinta si Haji tu ekekkekekeek...

untunglah si haji munir tu ya.. :D

abang bro EL said...

abang bro pulak tersenyum sebab pak munir ni ada hati dalam taman...nak memetik bunga gitu...

Anonymous said...

untunglah haji... dapat pucuk muda... aku syak haji tu kaya. wkwkwkwkwkw..

{Pisang Kaki}

Unknown said...

amboi..bertuah badan haji tu..
cinta tak mengenal usia ni..

محمد رازيق said...

aku suka.

bertuah pak haji tu. sharifah terima pinangannya.

cinta itu indah, tidak mengenal usia